Pengadil Piala Dunia 2010, ­Subkhiddin Mohd. Salleh yang kecewa dengan tindakan FAM berkata, pemilihan pegawai luar untuk mengendalikan perlawanan besar di Malaysia tidak memberi manfaat kepada pembangunan pe­ngadil di negara ini, sebaliknya membawa imej buruk.

“Sudah tentu banyak persoalan bermain dalam fikiran mereka (pemerhati bola sepak antarabangsa). Apakah liga kita terdapat kelemahan? Apakah terdapat korupsi dalam liga dan pelbagai persepsi.

“Keputusan ini secara tidak langsung menjejaskan imej FAM dan setiap pegawainya,” kata Subkhiddin ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Subkhiddin juga berkata, tindakan FAM juga menjatuhkan semangat pengadil tempatan yang sudah bekerja keras untuk mengendalikan perlawanan sejak awal tetapi tidak diberi kepercayaan pada waktu kemuncak.

Malah tegasnya, tindakan ini seolah-olah mendidik orang ramai untuk mempercayai bahawa produk tempatan tidak cukup berkualiti.

“Mengapa hanya gunakan pengadil Jepun dalam perlawanan akhir Piala FA, jadi pengadil tempatan ini layak dari peringkat awal hingga separuh akhir sahaja?

“Apa yang saya maksudkan di sini soal ‘kepercayaan separuh masak’. Pengadil sedia ada te­lah bertungkus lumus dari awal pertandingan dan sudah pasti bercita-cita besar untuk menguruskan perlawanan pen­ting ini apabila tiba masanya.

“Semua pengadil sama ada EPL (Liga Perdana Inggeris), La Liga (Sepanyol) atau Serie A (Itali) pernah membuat kesilapan kerana tiada yang sempurna.

“Adakah pengambilan pe­ngadil luar ini adalah kerana FAM mahu mengelak daripada dikecam? Jadi ia seperti langkah selamat?,” ujarnya lagi.

Menurut Subkhiddin, sebagai badan yang menaungi bola sepak Malaysia, FAM sepatutnya berfikiran lebih bijak dalam menangani masalah mutu pengadilan.

“Keputusan yang diambil hari ini akan mendatangkan mudarat kepada pendidikan moral generasi masa hadapan.

“Apakah keputusan ini mendidik warga negara kita khususnya mereka yang di bangku sekolah untuk menghormati ‘produk’ tempatan,” katanya lagi.

Kelmarin Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola­sepak Malaysia (FAM), Md Dali Wahid berkata, penggunaan pengadil import dalam final Piala FA di antara Kedah menentang Perak pada 27 Julai ini memberi impak kecil dalam menaikkan mutu pengadilan tempatan.