Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan bantuan pihak-pihak berkenaan, ia diharap dapat membantu persatuan itu untuk membangunkan semula bola sepak di negara ini dengan peruntukan yang diberi.

Menurutnya, buat masa ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hanya membantu di peringkat akar umbi sahaja termasuk mengambil alih pasukan Harimau Muda yang dilihat mampu kembalikan kegemilangan bola sepak seperti sebelum ini.

Selain langkah tersebut, KBS juga akan menghidupkan semula program Tunas Cemerlang bagi mencungkil bakat-bakat muda terutama di kalangan pelajar sekolah rendah sebelum mereka dibekalkan dan serapkan kepada FAM.

‘‘Biarpun bola sepak adalah sukan nombor satu di Malaysia tetapi kini mutunya semakin merosot akibat kekurangan dana serta tiada peruntukan mencukupi termasuk untuk program pembangunannya.

“Jadi, dengan adanya penajaan daripada pihak berkenaan, ia diharap mampu melonjakkan sukan itu dan pada masa sama populariti syarikat GLC yang terlibat dalam menganjurkan sukan tersebut dapat diperhebat ke peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Jelajah Cergas Peringkat Negeri Pulau Pinang 2009 di Kompleks Belia dan Sukan Batu Uban di sini, semalam.

Tambahnya, langkah itu sebenarnya merupakan tanggungjawab sosial korporat bagi setiap GLC dan pihak swasta selain memberi manfaat kepada semua pihak sekali gus mampu merancakkan lagi bukan sahaja sukan bola sepak tetapi juga sukan lain di negara ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, masalah kewangan serta kekurangan dana juga merupakan antara punca program pembangunan dan kecemerlangan pelbagai jenis sukan di negara ini tidak dapat berkembang dengan baik.