Skuad bimbingan Klopp yang merangkul gelaran Liga Juara-Juara bakal berdepan pasukan bimbingan Frank Lampard, Blues yang menundukkan Arsenal dalam perlawanan akhir Liga Europa, musim lepas, di Turki, Khamis ini.

Reds berlepas dari Lapangan Terbang John Lennon, Liverpool, hari ini, dan antara pemain yang turut menyertai pasukan ke Istanbul ialah penjaga gol berpengalaman, Andy Lonergan yang dijangka menandatangani kontrak jangka pendek di Anfield.

Pemain yang tidak menyertai skuad Liverpool ke Istanbul ialah pertahanan, Dejan Lovren yang dikatakan tidak sihat, walaupun dia dikaitkan dengan perpindahan ke Roma menerusi yuran perpindahan bernilai 15 juta pound (RM75 juta).

Lonergan dijangka berperanan sebagai penjaga gol simpanan buat Liverpool, selepas Klopp mengesahkan penjaga gol No. 1, Alisson Becker ditimpa kecederaan dan terpaksa diketepikan selama beberapa minggu.

Bintang Brazil berusia 26 tahun itu mengalami kecederaan betis sewaktu beraksi dalam babak pertama ketika Liverpool melakar kemenangan 4-1 ke atas Norwich dalam aksi pembukaan Liga Perdana dan kelab tidak meletakkan tempoh pemulihan Alisson.

Klopp dijangka kehilangan khidmat pemenang Liga Juara-Juara itu untuk beberapa minggu.

“Tidak berapa bagus. Kecederaan betis yang dialaminya mengambil masa untuk dia sembuh. Saya tidak mahu membuat sebarang jangkaan bila dia akan kembali ke pangkuan pasukan, tetapi apa yang pasti perlawanan Rabu ini (Khamis waktu Malaysia), dia tidak akan beraksi.

“Ia mungkin mengambil masa beberapa minggu dan kita perlu tunggu dan lihat. Saya berasakan mungkin kira-kira enam minggu, tetapi Ali tidak kerap cedera sepanjang kariernya, jadi saya lebih selesa menanti seketika untuk melihat perkembangannya terlebih dahulu. Buat masa sekarang, dia tidak boleh bermain untuk beberapa minggu akan datang,” kata Klopp menjelang Piala Super UEFA.

Alisson digantikan dengan penjaga gol yang ditandatangani pada musim panas ini, Adrian enam minit sebelum rehat separuh masa pertama sewaktu menentang Norwich yang menyaksikan Liverpool pada ketika itu mendahului 3-0.

Pemain Sepanyol itu beraksi untuk baki permainan yang tinggal dan berjaya ditewaskan oleh Teemu Pukki sewaktu Reds meraih kemenangan 4-1.

Adrian berada di kedudukan teratas untuk mengekalkan posisinya itu menjelang aksi menentang Chelsea di Istanbul, dengan pemain muda Ireland, Caoimhin Kelleher sebagai penjaga gol simpanan.

Namun, Kelleher masih belum cergas sepenuhnya selepas pulih daripada kecederaan retak pergelangan tangan dan Klopp membayangkan dia bakal mengikat perjanjian jangka pendek dengan Lonergan.

Penjaga gol berusia 35 tahun itu, yang kini berstatus ejen bebas setelah dilepaskan Middlesbrough pada penghujung musim lalu, merupakan sebahagian daripada skuad Liverpool yang beraksi pada pra-musim dan masih berlatih bersama kelab itu. - AGENSI