Skuad kendalian Klopp menjaringkan gol terpantas pasukan itu dalam liga menerusi Naby Keita selepas 15 saat beraksi di Anfield.

Sadio Mane dan Mohamed Salah masing-masing meledakkan dua gol untuk memastikan kemenangan selesa ke atas pasukan yang tersingkir dari liga musim depan, Huddersfield.

Kemenangan besar ini merupakan reaksi sempurna kepada Manchester City yang melakar kemenangan ke atas Manchester United, yang menyaksikan pasukan bimbingan Pep Guardiola mengambil alih sementara kedudukan pendahulu liga di atas Liverpool, Rabu lalu.

City, kini dua mata di belakang Liverpool namun juara bertahan EPL itu dijangka mampu merampas semula puncak liga jika mencatat kemenangan ke atas Burnley esok.

Sementara itu, Klopp memuji usaha dilakukan pemainnya dalam memberi tekanan kepada pasukan penyandang juara itu.

“Kami gembira dengan mata yang diraih dan kami kini memberi tumpuan pada perlawanan berikutnya. Pendekatan kami ternyata berhasil dan kami akan cuba memberi banyak masalah kepada lawan dengan berusaha lebih keras.

“Ia sememangnya kelompok pemain yang menyerlah, mereka beraksi cemerlang menentang Huddersfield yang turut mempamerkan persembahan baik di sebalik kekalahan itu.

“Mereka melancarkan serangan balas yang berbahaya jadi kami perlu berhati-hati, tetapi kami berjaya menjaringkan gol menarik. - AFP