Ketua Menteri, Adly Zahari berkata pihak persatuan sentiasa mengalu-alukan sumbangan daripada pihak swasta untuk tampil membantu menambah dana bagi menampung perbelanjaan pasukan dan kebajikan para pemain.

Katanya, sumbangan dan sokongan daripada pihak swasta selain bantuan kewangan yang diterima daripada anak-anak syarikat kerajaan negeri amat diperlukan dalam meningkatkan prestasi pasukan seterusnya memajukan pembangunan bola sepak negeri.

“Persatuan bola sepak negeri berharap dengan sumbangan ini ia dapat memenuhi aspirasi rakyat yang mahu mutu sukan tersebut ditingkatkan.

“Dengan kewangan yang mencukupi, kita berupaya membayar gaji pemain, menjaga kebajikan pemain yang ditimpa kemalangan dan sebagainya. Ini seterusnya membolehkan pemain dapat memberikan prestasi lebih baik dan bersungguh-sungguh,” katanya ketika ditemui pemberita, selepas majlis penyerahan tajaan di pejabat ketua menteri, di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Penyerahan sumbangan kepada MUSA itu disampaikan oleh Pengarah KLIP, Datuk Muhammad Saifullah Noor kepada Adly yang juga Presiden MUSA dan disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee.

Dalam pada itu, Adly berkata, kerajaan negeri tidak merancang untuk menambah peruntukan sedia ada kepada MUSA dan hanya akan berbelanja mengikut bajet ditetapkan dari awal musim.

“Musim ini perbelanjaan kita mengikut perancangan kerana tidak ada bajet tambahan namun keperluan kewangan sentiasa diperlukan bagi memenuhi perbelanjaan persatuan selama satu musim,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pemain Melaka United, Mohd. Faizal Muhamad, 30, yang mengalami kemalangan baru-baru ini, beliau berkata pihak persatuan akan sentiasa mentau dan menjaga kebajikan pemain daripada semua aspek.

“Di pihak MUSA, kita ada plan kebajikan untuk para pemain kita, pihak pengurusan akan kaji keperluan selain akan sentiasa jaga kebajikan daripada segi gaji dan sebagainya,” katanya.

Mohd/ Faizal Muhamad, cedera di muka dan kepala dalam kemalangan di Kilometer 250.2, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Jabor, Ahad lalu. -BERNAMA