Penyerang B-15 negara, Mohamad Khairil

Zain berkata, keyakinan itu berdasarkan prestasi semasa pasukannya yang cemerlang serta semangat berpasukan tinggi.

"Insya-Allah boleh tewaskan Jepun, kebanyakan (pemain) pasukan kami ini semua ada inspirasi nak lawan, komitmen, percakapan semua ada dalam team ini.

"Jepun adalah (pasukan) gergasi Asia dan kami percaya dengan team yang ada, insya-Allah kami boleh 'makan' Jepun," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini malam tadi selepas pasukan itu pulang dari kejohanan AFF B-15 2019.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan J bersama Jepun, Kemboja dan Laos yang merupakan pasukan tuan rumah bagi kempen kelayakan peringkat kumpulan itu.

Sementara itu, pemain pertahanan Muhammad Daniel Edzuan Anuar yang senada dengan Mohamad Khairil berkata pasukannya bagaimanapun tidak boleh mengambil mudah pasukan Jepun.

"Kalau tengok perlawanan menentang Kemboja itu, atas kertas kami boleh 'makan' tetapi kami tidak boleh ambil mudah dengan Jepun dan perlu fokus, yakin serta beri 200 peratus komitmen dalam pasukan," katanya.

Bagi pengendali skuad B-15 negara, P. Maniam biarpun yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya membenam Jepun, namun beliau turut melihat Laos sebagai pencabar utama.

"Memang kita nampak boleh menang dengan Kemboja tetapi Laos ini susah sikit sebab saya rasa mereka bermain dengan lebih bertahan, bukan senang.

"Apa pun, dengan pemain-pemain ini saya berkeyakinan kita boleh melakukan yang terbaik menentang Jepun.

"Keyakinan pemain begitu baik tetapi kita harus membuat persiapan lebih baik daripada sebelum ini bagi.membolehlan pasukan bermain dengan lebih yakin dan teratur," katanya.

Skuad B-15 negara disambut meriah di KLIA malam tadi setelah bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk mengalahkan juara tiga kali, Thailand 2-1 di Stadium IPE Chonburi, Thailand dalam aksi final, sekali gus menjadi juara AFF B-15 2019.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Subahan Kamal dan Setiausaha Agungnya Stuart Ramalingam turut bersama meraikan skuad B-15 negara. - BERNAMA