Dominic Tan menghadapi kecederaan pangkal paha manakala R. Kogileswaran cedera buku lali dan Faisal Abdul Halim (kaki) bagaimanapun Kim Swee memberitahu ketiga-tiga pemain tersebut sempat sembuh sebelum menghadapi Kejuaraan AFC B-23 di venue yang sama pada 22 hingga 26 Mac ini.

"Kecederaan yang dialami oleh ketiga-tiga pemain tersebut tidak begitu serius dan mereka memerlukan sehari atau dua hari lagi untuk sembuh. Esok saya akan menilai mereka sama ada boleh bermain atau tidak untuk aksi esok.

"Saya perlu memantau perkembangan ketiga-tiga pemain itu dalam masa tiga hingga empat hari ini sebelum membuat keputusan menyenaraikan 23 pemain menghadapi kejohanan tersebut," katanya kepada pemberita di Stadium Shah Alam hari ini.

Mengulas lanjut, bekas jurulatih skuad kebangsaan itu berkata lagi beliau tidak mahu terlalu memikirkan keputusan yang akan dilakar esok sebaliknya persembahan pemain negara menjadi keutamaannya.

"Penting untuk saya lihat corak permainan pasukan daripada fikir untuk mendapatkan keputusan (kemenangan). Corak permainan penting untuk kami sebelum menghadapi Filipina.

"Perlawanan ini penting untuk kita menilai kelemahan dan kekuatan lawan cuma saya tidak mahu pemain terlalu fikirkan kekuatan Australia. Lebih baik kami fikirkan Laos, Filipina dan China,"katanya lagi.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan J Kejuaraan AFC B-23 akan menentang Filipina pada 22 Mac ini sebelum bertemu Laos 24 Mac dan China dua hari kemudian. - UTUSAN ONLINE