Mengakui mereka mengharungi saingan awal liga dengan keadaan 'tenat', bekas pemain kebangsaan itu yakin segalanya belum terlambat pasukannya memperbaiki pencapaian.

"Kami belum mengaku kalah kerana masih banyak perlawanan yang perlu dihadapi sebelum juara Liga Super ditabalkan. Perlu diingat juga, pungutan mata antara pasukan tidak jauh berbeza.

"Saya yakin dengan kemasukan pemain import baru, kami akan tampil berbeza dan akan memberi saingan kepada pasukan lain," katanya selepas perlawanan persahabatan antara pasukannya dengan USM FC di sini, malam tadi.

Dalam perlawanan yang diadakan untuk menguji pemain import baru kedua-dua pasukan, Kedah menewaskan tuan rumah 4-1 dengan semua gol dijaringkan oleh pemain import termasuk hatrik pemain tengah, Daniel Baroni yang dikatakan akan disingkirkan ekoran persembahan buruk.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan sebilangan penyokong Kenari yang mahu memboikot perlawanan membabitkan pasukan tersebut di Stadium Darul Aman sebagai protes terhadap Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Khyril berkata, semua pihak perlu rasional.

"Saya dan rakan sepasukan faham perasaan peminat apabila Kedah masih belum mencatatkan kemenangan. Namun sebagai penyokong, mereka perlu profesional dan saya berharap mereka tetap ke stadium untuk menyokong pasukan," katanya.