Wagner meledak hatrik, jari­ngan pertamanya bersama Jerman, manakala Julian Draxler, Amin Younes, Shkodran Mustafi dan Julian Brandt masing-masing turut mencetak nama sebagai penjaring di Stadium Nurnberg, Nuremberg.

Kemenangan itu membolehkan juara dunia tersebut menghampiri pusingan akhir Piala Dunia 2018 di Rusia selepas menerajui Kumpulan C, kelayakan zon Eropah de­ngan mengutip 18 mata, lima mata mengatasi pasukan tangga kedua, Ireland Utara yang menang 1-0 di Azerbaijan.

Bagaimanapun, sebelum boleh memikirkan tentang misi mempertahankan Piala Dunia, skuad bimbingan Loew perlu terlebih dulu bersaing dalam Piala Konfe­derasi yang akan diadakan di Rusia dari 17 Jun hingga 2 Julai untuk menguji kemampuan sebenar.

“Kemenangan ini adalah peluang terbaik buat pasukan untuk meningkatkan keyakinan. Pemain-pemain kami berjaya mengekalkan corak permainan pantas sepanjang 90 minit perlawanan.

“Perlawanan ini sangat pen­ting buat Sandro (Wagner). Dia menggunakan tubuhnya dengan baik dan tidak mudah buat mana-mana pemain hendak mengawa­sinya. Dia pemain yang punya kematangan dan personaliti, antara yang sering berpegang kepada pendirian.

“Dia juga sangat terbuka dan jujur, selain sentiasa positif bersama pasukan,” kata Loew.

Kejayaan meledak hatrik adalah peluang terbaik buat Wagner untuk mengukuhkan kedudukan dalam skuad kebangsan kerana dia baru membuat penampilan kedua.

Penyerang TSG 1899 Hoffenheim berusia 29 tahun itu berkata, meledak tiga gol pertama bersama Jerman meningkatkan sema­ngatnya untuk meledak lebih ba­nyak gol buat negara.

“Ia sangat menakjubkan. Tiga gol pertama saya bersama Jerman. Sudah lama saya menunggu detik ini dan saya juga berterima kasih kepada Joshua Kimmich yang melakukan hantaran cantik,” kata Wagner.

Sementara itu, dalam sai­ngan Kumpulan E, kapten Poland, Robert Lewandowski menggesa rakan-rakan sepasukan agar memperbaiki prestasi, meskipun selangkah lagi untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 selepas menumpaskan Romania 3-1 di Warsaw, hari ini.

Lewandowski meledak hatrik untuk membolehkan Poland meng­ungguli Kumpulan E dengan enam mata mengatasi Montenegro yang turut melakar kemena­ngan selesa 4-1 ke atas Armenia.

“Secara peribadi saya gembira, tetapi apa yang lebih penting adalah pasukan. Kemenangan ini bermakna kami sudah selangkah menghampiri Piala Dunia di Rusia.

“Bagaimanapun, pasukan perlu memperbaiki kosentrasi dan menunjukkan permainan lebih baik selepas kami berjaya melayakkan diri. Jika anda melihat 20 minit terakhir menentang Romania, ia tidak begitu menggembirakan,” kata Lewandowski. – AGENSI