Pengendali United, Jose Mourinho mendedahkan, dia telah mengambil kesempatan ke atas Svilar dengan memberi tekanan dalam situasi bola mati yang menyaksikan pemain itu melakukan kesilapan sehingga menyebabkan pasukannya tewas.

Pemain kelahiran Belgium itu mencatat sejarah menjadi penjaga gol termuda Liga Juara-Juara (UCL) pada usia 18 tahun 52 hari untuk mengatasi rekod legenda Real Madrid dan Sepanyol, Iker Casillas.

Ia terbukti mimpi ngeri buat Svilar yang dilihat tidak selesa dalam situasi bola mati sehingga menghadiahkan kemenangan United dalam Kumpulan B.

Sepakan lencong Marcus Rashford dari jarak 40 ela ketika perlawanan berbaki 26 minit mendorong Svilar untuk berundur tetapi bola sudah pun melepasi garisan gol meskipun bola berkenaan dalam genggamannya.

“Saya sedar dia seorang pemain yang bagus dan saya sudah berpesan kepada pemain saya. Tetapi, kami mempunyai statistik dan maklumat mengenai sepakan bola matinya, jadi kami perlu membuatkan dia tidak berasa selesa.

“Dalam sepakan penjuru, kami cuba mengepungnya dan membuatkan dia dalam keadaan tertekan. Hanya penjaga gol handalan berani mengambil risiko seperti itu. Kami bernasib baik,” katanya.

Satu-satunya perkara yang tidak menggembirakan kem Red Devils adalah kebimbangan mengenai Rashford dan Mourinho mengesahkan pemain England itu mengadu maengalami masalah di bahagian lututnya.

“Ia berkenaan dengan lututnya, bukan kekejangan,” jelasnya.

Kemenangan itu begitu jelas memihak kepada United apabila Benfica jarang menghadirkan ancaman sepanjang perlawanan berlangsung. 
– AGENSI