Sathinathan berkata, anak-anak buahnya kerap kehilangan bola di bahagian tengah dan gagal mengambil peluang untuk menambah lebih banyak jaringan.

"Daripada segi permainan sememangnya sukar bermain dalam keadaan padang yang basah tetapi ini bukan alasan, kerana saya beritahu pemain untuk bermain dari bahagian tepi, namun kita lebih banyak hilang bola di bahagian tengah.

"Ada beberapa pemain saya lihat tidak menunjukkan persembahan memberangsangkan, sebagai jurulatih saya akan tegur jika pemain sering melakukan kesalahan sama," katanya selepas perlawanan.

Sathinathan berkata, beliau terpaksa mengambil risiko merehatkan beberapa pemain yang tidak menunjukkan pretasi terbaik untuk perlawanan akan datang.

Selangor yang memiliki reputasi selaku juara 33 kali, kini menduduki tangga kedua Kumpulan D dengan lima mata, satu mata di belakang Melaka United.

Sementara itu, pengendali PDRM, E.Elavarasan berkata, nasib menyebelahi pasukannya kerana Selangor lebih mendominasi perlawanan.

"Walaupun cuma satu mata, saya rasa ia penting untuk memberi motivasi kepada pemain bagi menghadapi perlawanan seterusnya," katanya.

Dalam perlawanan itu, Selangor mendahului perlawanan menerusi jaringan Sandro Da Silva pada minit ke-52, sebelum PDRM menyamakan kedudukan dengan jaringan Argzim Redzovic di minit ke-59. - BERNAMA