Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan badan bukan kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, bagaimanapun kedua-dua pihak perlu bersikap profesional meskipun berlainan ideologi politik.

“Dalam persatuan, tiada soal politik dan mengikut prosedur seperti biasa di mana kita memberi ruang kepada Kafa.

“Seperti sebelum ini, jika diminta memberi pandangan atau idea, kita bersedia menyuarakan pandangan bagi meletakkan sukan bola sepak negeri ke peringkat yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kepimpinan baharu Kafa yang dilantik dalam Kongres Luar Biasa (EGM) ketika sidang akhbar Sempena Karnival Sukan Kelantan 2019 di Majlis Sukan Negeri (MSN), Jalan Telipot, di sini, hari ini.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah diberi mandat menerajui Kafa selepas menang pemilihan jawatan Presiden pada EGM 6 Julai lalu.

Wan Abdul Rahim atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Wan Rahim menewaskan ahli perniagaan Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz menerusi kiraan undi dua pusingan 28-16.

Pada pusingan pertama Wan Rahim menang menerusi kiraan 25-20, namun peraturan menetapkan kemenangan itu mesti dilakar dengan majoriti dua pertiga.

Kemenangan itu menyaksikan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan itu akan memimpin Kafa bagi penggal 2019-2023.

Dalam pada itu, Wan Roslan turut mengucapkan tahniah di atas pelantikan Wan Abdul Rahim dan berharap Presiden baharu itu dapat menjalankan amanah yanh telah diberikan.

“Semoga kepemimpinan baharu dapat mengurus dengan jaya dan menyelesaikan isu berbangkit di peringkat persatuan,” katanya. - UTUSAN ONLINE