Firdaus Maasar, 31, yang merupakan penuntut ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Sains Sukan dan Fisiologi di Liverpool John Moores University (LJMU) terlibat dalam mengetuai pengurusan profil fisiologi pemain utama kelab itu musim lalu.

Antara tugasnya termasuklah melakukan penilaian terhadap tindak balas laktat dan pengambilan oksigen secara maksimum dalam kalangan pemain kelab berkenaan.

Hasil kepakarannya membantu skuad bimbingan ketua jurulatih David Wagner itu muncul sebagai salah satu daripada tiga kelab dari Liga Kejuaraan menempah tempat dalam EPL musim depan yang dijadual bermula 12 Ogos ini.

Firdaus berkata, dia berasa gembira kerana turut sama membantu melonjakkan semula kelab itu ke saingan utama Liga Inggeris selepas hampir 45 tahun tersingkir ke liga bawahan.

Ujarnya, ia merupakan pe­ngalaman berharga dan sumbangannya turut mendapat pengiktirafan daripada Ketua Perkhidmatan Prestasi kelab itu, Dr. John Iga baru-baru ini.

“Alhamdulillah, saya dapat membantu kelab itu layak ke EPL pada musim akan datang,” katanya ketika dihubungi menerusi laman sosial Facebook baru-baru ini.

Huddersfield menempah tempat ke saingan EPL selepas mengatasi Reading 4-3 menerusi sepakan penalti penentuan dalam playoff. Kelab itu menyertai juara Liga Kejuaraan, Newcastle United dan Brighton & Hove Albion yang akan beraksi dalam liga termahal dunia itu.

Firdaus berkata, semasa di Huddersfield dia bekerjasama dengan petugas kelab dalam menyusun jadual, melatih pelajar sains sukan dalam pengambilan data, melakukan ujian fisiologi dan menyediakan analisis data pemain secara terperinci untuk kegunaan kelab berkenaan.

“Untuk musim baharu, se­mua­nya masih di peringkat pe­rancangan dan kalau Huddersfield mahu menggunakan khid­mat saya, sudah tentu saya bersedia,” katanya yang juga salah seorang petugas dalam mengendalikan latihan kecergasan untuk kelab Liverpool sejak 2015.

Mengulas mengenai tugasnya bersama Liverpool pula, bapa kepada tiga anak itu berkata, dia kini sedang membuat persediaan untuk latihan pramusim kelab itu yang dijadual bermula Rabu ini.

Dia ditugaskan membantu Jabatan Sains Sukan Liverpool sebagai sebahagian daripada program pengajiannya di LJMU sekali gus membolehkannya me­nyalurkan kepakaran kepada kelab bimbingan Jurgen Klopp itu atau kelab lain di Eropah.

“Pada masa ini pemain Liver­pool masih bercuti dan saya akan menjalankan penilaian kecergasan pemain akademi dan skuad utama apabila mereka melaporkan diri nanti. Saya juga akan menyediakan analisis kecergasan mereka untuk digunakan jurulatih bagi merancang sesi latihan,” katanya.