Timbalan Presidennya, Mohd. Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan berkata, pertemuan tertutup antara pemain terbabit dengan Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie itu akan membincangkan segala perkara berbangkit.

Beliau percaya, kata putus berhubung soal tunggakan gaji, kaedah pembayaran atau status mereka yang bakal beraksi dalam saingan Liga M3 2019 itu akan dimuktamadkan.

“Isu tersebut (tunggakan gaji) yang dibangkitkan pemain Liga FAM 2018 itu sebelum ini juga telah dijawab oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“MFL bagi tempoh 60 hari untuk selesaikan tunggakan berkenaan malah FAM juga memaklumkan pembayaran akan dilakukan pada 15 Februari depan.

“Insya-Allah perjumpaan esok akan beri kata putus dan menyelesaikan sebarang perkara berbangkit. Harap pemain dapat bersabar,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran jersi rasmi pasukan negeri ini di sini, malam tadi.

Baru-baru ini, media melaporkan nasib dialami oleh 18 orang pemain Singa Utara yang diibaratkan gantung tidak bertali kerana masih belum menerima tunggakan gaji seperti dijanjikan PFA.

Apa yang menyedihkan, sepanjang tempoh itu, mereka mendakwa terpaksa meneruskan hidup bekerja sebagai nelayan, buruh kasar dan berniaga kecil-kecilan. Kesemua pemain berkenaan sepatutnya menerima tunggakan gaji antara empat hingga tujuh bulan. Ia berdasarkan kontrak yang ditandatangani mereka berkuat kuasa 1 Disember lalu.

Bagaimanapun PFA menegaskan, bahawa badan induk bola sepak negeri itu tidak pernah sama sekali mengambil sikap lepas tangan berhubung isu tersebut.

Sementara itu, Karim Khan berkata, kemelut yang berlaku itu tidak mematahkan semangat pasukan yang sentiasa fokus menjelang aksi Liga Perdana awal bulan depan.

“Perlis optimis dan fokus dengan perancangan yang diatur bagi mengembalikan zaman kegemilangan Singa Utara. Momentum pemain juga berada dalam keadaan baik dan bersedia memberikan persembahan terbaik dengan menyasarkan juara Liga Perdana musim ini,” katanya.

Dalam majlis yang berlangsung meriah itu, Perlis turut mengumumkan tiga orang pemain import baharu iaitu Valci Teixeira Junior; Wellington Cirino Priori dari Brazil dan pemain kelahiran Jepun, Masaki Watanabe. - UTUSAN ONLINE