Bagaimanapun, nasib 18 orang pemain tersebut sama ada terus bermain bersama Perlis Northern Lion 2 itu masih samar berikutan masalah kewangan yang dihadapi oleh persatuan selepas beberapa penaja menarik diri akibat isu berkenaan.

Justeru, Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie berharap agar isu berkenaan tidak lagi dipanjangkan di saat persatuan sedang melakukan tranformasi untuk mengembalikan zaman kegemilangan Singa Utara yang sekian lama menyepi.

Dalam masa sama, Ahmad Amizal juga menyeru kepada para penyokong supaya bersama Perlis kerana sokongan daripada mereka bakal menjadi suntikan semangat ke arah kebangkitan yang dinantikan itu.

Selain itu, beliau juga berharap jika ada mana-mana pihak yang sudi menghulurkan tajaan kepada Singa Utara dalam menghadapi saingan musim ini.

“Kita telah mencapai kata sepakat berhubung soal gaji dalam pertemuan bersama pemain hari ini. Kita mungkin akan menggunakan duit geran yang diberikan MFL untuk menyelesaikan tunggakan tersebut.

“Memang tidak dinafikan isu yang melanda PFA baru-baru memberi kesan besar. Kita bermula daripada bawah dan apabila sudah mendapat keyakinan daripada penaja, isu tersebut (tunggakan) meletus seterusnya memberi impak negatif kepada pasukan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan bersama pemain Perlis Northern Lion 2 di sini, hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan nasib dialami oleh 18 orang pemain Singa Utara yang diibaratkan gantung tidak bertali kerana masih belum menerima tunggakan gaji seperti dijanjikan PFA.

Apa yang menyedihkan, sepanjang tempoh itu, mereka mendakwa terpaksa meneruskan hidup bekerja sebagai nelayan, buruh kasar dan berniaga kecil-kecilan. Kesemua pemain berkenaan sepatutnya menerima tunggakan gaji antara empat hingga tujuh bulan. Ia berdasarkan kontrak yang ditandatangani mereka berkuat kuasa 1 Disember lalu.

Bagaimanapun PFA dalam satu kenyataan menegaskan, bahawa badan induk bola sepak negeri itu tidak pernah sama sekali mengambil sikap lepas tangan berhubung isu tersebut.

Sementara itu, Ahmad Amizal berkata, kemelut yang berlaku kebelakangan ini tidak akan melemahkan semangat mereka untuk terus bangkit memburu kejuaraan Liga Perdana musim ini.

“Kita akan bangkit melakukan yang terbaik dan kepada penyokong teruskanlah memberi sokongan dengan memenuhi stadium. Sokongan padu daripada penyokong sangat diperlukan,” katanya. - UTUSAN ONLINE