Beliau berkata walaupun berdepan tugas sukar untuk meraih tiga mata penuh seperti ketika menumpaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC, 1-0 sebelum ini, anak buahnya perlu mempamerkan rentak kemenangan bagi memberi tekanan kepada pasukan lawan.

"Jika menang ke atas JDT II satu bonus, dan memberi motivasi kepada pasukan untuk bersaing dengan pasukan lain kerana JDT ll ketika ini berada di puncak liga.

"Kita juga tidak mahu gawang gol kita bolos ketika bertemu pasukan berprestij itu," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Kraljevic juga mahu barisan pemainnya kekal tenang dan fokus ketika menentang skuad Harimau Selatan itu.

"Sikap tenang mampu membantu mengelak Kelantan terperangkap dengan corak permainan lawan yang pasti mahu meraih tiga mata di laman sendiri.

"Moral pemain kita berada di tahap terbaik untuk berdepan JDT II," katanya, bahawa penyerang import Kelantan Raul Tarragona juga menunjukkan perubahan postitif ke arah membantu pasukan menjaringkan gol.

"Saya amat berharap dia (Tarragona) dapat menemui semula ketajaman penyudah sebagai penyerang," katanya.

Selepas mengharungi tiga perlawanan, Kelantan menduduki tangga ke tujuh dengan mengumpul empat mata hasil daripada satu kemenangan, satu seri dan satu kalah.- BERNAMA