Tonggak pertahanan Shahrul Nizam Roshasni berkata, bagi memastikan misi itu terlaksana mereka perlu bekerja keras sepanjang perlawanan tersebut selain mengikut arahan yang diberikan oleh jurulatih Yusri Che Lah.

Menurutnya, meskipun jurulatih itu baharu sahaja mengendalikan pasukan namun rata-rata pemain sudah masak dengan percaturannya kerana pernah bersama pada musim lalu.

“Dalam kedudukan pasukan yang berada ditangga tercorot sudah tentu sebagai pemain kami perlu sedia untuk melaksanakan percaturan taktikal sebagaimana yang telah diterapkan.

“Dengan bantuan jurulatih, saya optimis Kelantan mampu melakukan yang terbaik bagi menewaskan Negeri Sembilan pada perlawanan itu,” katanya.

Utusan Malaysia 16 April lalu melaporkan, Yusri tekad memulihkan semula prestasi pasukan yang terumbang-ambing dalam saingan Liga Perdana ketika ini.

Bekas pemain Perlis itu dibawa masuk bagi menggantikan Marko Kraljevic yang ditamatkan kontrak oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Sepanjang membimbing Kelantan musim lalu, Yusri berjaya membawa pasukan itu melangkah ke suku akhir Piala Malaysia.- UTUSAN ONLINE