Jesteru, Pengarah Teknikal The Red Warriors (TRW), Jorg Peter Steinebrunner yang sedang mengendalikan pasukan ketika ini mahukan satu lagi perlawanan persahabatan berkualiti.

Hal ini selepas aksi Kelantan menentang Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi terpaksa ditamatkan lebih awal ekoran hujan lebat.

Steinebrunner berkata, situasi itu menyebabkan dia gagal menguji kesemua penyerang import yang masih menjalani sesi pemilihan ketika ini.

"Saya perlukan satu lagi perlawananan persahabatan berkualiti untuk menguji semua calon pemain import yang hadir.

"Kita masih mencari seorang penyerang tulen yang mampu menyudahkan gerakan yang dihasilkan sekaligus memastikan Kelantan mencapai kemenangan dalam saingan liga nanti," katanya di sini hari ini.

Aksi persahabatan itu menyaksikan Kelantan sekadar seri tanpa jaringan menentang TFC II

Ketika ini penyerang kebangsaan Afghanistan, Mustafa Zazai masih lagi menjalani sesi pemilihan bersama TRW.

Untuk rekod, TRW berjaya mengikat skuad Liga Super Terengganu FC 1-1 sebelum kalah 4-1 kepada Kedah dalam aksi persahabatan kedua. - UTUSAN ONLINE