Ini juga adalah kemenangan sulung mereka di Stadium Sultan Muhammad IV, sekali gus meredakan seketika tekanan The Red Warriors.

Kemenangan itu juga membolehkan anak-anak buah Yusri Che Lah keluar dari kedudukan tercorot, sebaliknya tempat tersebut kini dihuni PDRM FC.

Ini kemenangan pertama Kelantan selepas kali terakhir menewaskan UKM FC pada 17 Febuari lalu, sebelum dipotong mata oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akibat gagal melunaskan hutang Alfredo Gonzales.

Tuan rumah bagaimanapun terpaksa menunggu sehingga minit ke-30 untuk mendapatkan jaringan pertama menerusi rembatan jarak dekat Nik Akif Syahiran Nik Mat yang gagal diselamatkan penjaga gawang Pulau Pinang, Muhammad Hazrull Hafiz Zulkifly.

Kelantan terus mengganas apabila meledak gol kedua menerusi rembatan kencang tonggak pertahanan, Mohamad Azwan Aripin pada minit ke-42 yang terus melepasi jangkauan Hazrull Hafiz.

Bersambung babak kedua, pelawat merapatkan jurang 2-1 menerusi Makeche Ndumba pada minit ke-47 apabila rembatan deras dari dalam kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol Kelantan, Damien Lim.

Pulau Pinang cuba bangkit dengan beberapa peluang terhidang namun dihampakan oleh ketumpulan penyudah.-UTUSAN ONLINE.