Tuan rumah yang kehilangan ketua jurulatih Mohd. Zan Mat Aris selepas 'direhatkan' oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) dua hari lalu dikejutkan dengan gol lawan seawal minit ke-3 perlawanan.

Pemain import Kedah, Fernando Rodriguez Ortega yang menggunakan ketinggiannya mudah menanduk masuk hantaran Azammuddin Mohd. Akil.

Gol awal itu mendorong kedua-dua pasukan meningkatkan permainan dengan saling berbalas serangan.

Pada minit ke-23, Negeri Sembilan hampir menyamakan kedudukan, namun penjaga gol Kedah, Mohd. Ifwat Akmal Chek Kassim berjaya menampan bola hantaran Igor Carneiro Luiz di atas palang gol.

Kedah turut memperoleh beberapa peluang di depan pintu gol Negeri Sembilan tetapi dinafikan oleh penjaga gol tuan rumah, Mohamad Kaharuddin Abdul Rahman.

Pasukan pelawat akhirnya menambah jaringan apabila berjaya menembusi gol Negeri Sembilan pada minit ke-72.

Pemain pertahanan Kedah, Muhammad Shakir Hamzah yang membuat larian solo di kanan pintu gol tuan rumah melepaskan rembatan deras yang gagal diselamatkan Mohamad Kaharuddin.

Bagaimanapun, Negeri Sembilan merapatkan kedudukan pada minit ke-77 melalui gol pemain tengah, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir.

Kedudukan itu tidak lama selepas pasukan pelawat memperoleh sepakan penalti pada minit ke-81 apabila Muhammad Farhan Roslan dijatuhkan oleh Matheus Fernandes Vila Real.

Penyerang Kedah, Jonatan Jesus Bauman menyempurnakan sepakan tersebut.

- UTUSAN ONLINE