Pertemuan antara dua kelab Turki, Fenerbahce dan Bursaspor telah ditayangkan secara langsung dalam Bein Sports, Ahad lalu.

Sewaktu kamera sedang merakamkan penyokong di Timsah Arena dekat Bursa, seorang budak lelaki kelihatan sedang menghisap rokok dari tempat duduknya.

Menyarung jersi Bursaspor berwarna hijau, budak tersebut dilihat yang duduk bersebelahan dengan seorang lagi kanak-kanak yang mungkin sahabatnya sedang leka menghisap rokok sebelum menghembus asap ke udara.

Insiden tersebut ternyata telah mencetuskan kekecohan dalam media sosial setelah video berkenaan menjadi tular dalam internet.

Bagaimanapun, apa yang disaksikan orang ramai sebenarnya tidak seperti yang disangka, selepas pelakunya dijejaki dan individu yang disangka kanak-kanak merupakan lelaki dewasa berusia 36 tahun.

Peminat tersebut hadir ke stadium menyaksikan perlawanan bersama anaknya yang duduk bersebelahan dengannya. Walaupun, lelaki berkenaan didapati tidak melanggar peraturan kerana merokok di bawah umur, tetapi dia bakal dikenakan denda ekoran perbuatannya itu.

Menghisap rokok di tempat awam dilarang di Turki, dan hukuman yang bakal dikenakan ialah denda sebanyak 13 pound (RM66).

Bagaimanapun, sama ada polis akan mengambil tindakan susulan ataupun tidak masih belum disahkan. Perlawanan tersebut merupakan aksi persahabatan bagi mengutip derma untuk tujuan kebajikan.

Kesemua hasil jualan tiket perlawanan akan didermakan kepada organisasi bagi membantu pesakit leukaemia dan barah, serta yayasan sokongan kanak-kanak autisme dan downs syndrome. - AGENSI