Beliau berkata, pemain seperti Jasazrin Jamaludin, Muhammad Hadin Azman, Danial Amier Norhisham, Khairul Amri Mohd Kamal dan pemain import, Masaki Watanabe masih dalam proses pemulihan dan keadaan itu sedikit sebanyak menjejaskan perancangannya.

Katanya, kekosongan itu diisi pemain-pemain muda daripada program pembangunan kelab tersebut, namun ia bukan satu perkara yang bagus kerana membiarkan mereka beraksi dalam keadaan pasukan yang 'kosong', namun ia perkara yang harus dihadapi mereka.

"Tidak banyak yang kita boleh ubah dalam masa tiga hari sebelum kembali ke Jengka untuk perlawanan bertemu Terengganu pada Sabtu ini, kemudian akan menghadapi Pahang (25 Mei) dan kedua-duanya adalah 'pasukan gergasi'.

"Kita tidak boleh sesekali harap lawan bermain tidak baik, jika tidak masalah sama akan timbul dan apa yang perlu pasukan ini perlu segera bangkit dan saya berharap pemain-pemain dalam proses pemulihan segera sembuh, kerana tanpa khidmat mereka yang berpengalaman ini keadaan pasukan amat sukar," katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Terdahulu dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, menyaksikan pasukan pelawat itu tumpas 0-6 kepada tuan rumah Melaka United, menerusi jaringan hatrik pemain import Serbia, Luka Milunovic pada minit ke-36, 53, dan 89.

Manakala tiga lagi jaringan skuad Sang Kancil itu diperolehi menerusi pemain import Filipina, Patrick Riechelt di minit ke-4, Safiq Rahim (minit ke-25) dan Nazrin Nawi minit ke-35.

Mengulas lanjut mengenai perlawanan itu Nidzam berkata, pasukannya bermain sangat teruk, dan beliau bertanggungjawab sepenuhnya dengan prestasi yang dipamer Felda United, selain tidak mahu menjadikan alasan kepenatan selepas melalui perlawanan suku akhir Piala FA pada Sabtu lepas.

"Kita sudah jangka perkara ini berlaku, namun ia tidak seteruk keadaan ini, ada pemain yang telah bermain minit sangat banyak, tetapi kita tidak mempunyai pemain yang cukup kerana ada yang bergelut dengan kecederaan dan ia memberi masalah kepada pasukan ini.

"Tiga hari lepas kita bermain bertemu Kuala Lumpur untuk Piala FA, tetapi secara keseluruhan kita main teruk hari ini... kita tidak boleh cakap pasukan ini bersedia untuk aksi separuh akhir, kerana kita ada masa lebih sebulan untuk aksi itu," katanya. - BERNAMA