Ketika ini, jentera serangan skuad bimbingan Dollah Salleh itu adalah menerusi gandingan 'orang besinya', Dickson Nwakaeme dan penyerang dari Brazil, Jose Eduardo atau lebih dikenali sebagai Ze Love serta pemain tempatan, Nor Sharul Idlan Talaha atau Mat Yo.

Bagaimanapun, gandingan Nwakaeme dan Ze Love dikatakan gagal memenuhi keperluan Dollah yang jelas dilihat menerusi kenyataan bekas pemain kebangsaan itu yang kecewa dengan aksi tidak konsisten anak buahnya terutama ketumpulan jentera serangan.

Ekoran kekecewaan tersebut, Pahang dikhabarkan sedang mengintai pemain import baharu bagi menguatkan jentera serangannya pada jendela perpindahan pemain yang akan akan melabuhkan tirainya esok.

Pada sesi latihan Pahang tiga hari lalu, dua pemain penyerang iaitu Forkey Doe dari Liberia dan Lazarus Kaimbi dari Namibia menyertai latihan skuad itu sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat Tok Gajah.

Forkey Doe merupakan bekas pemain Tok Gajah musim lalu manakala Kaimbi pernah menyarung jersi skuad Kelantan musim lalu.

Khidmat Forkey Doe bersama Tok Gajah berakhir pada Mac tahun lalu selepas pemain itu mengalami kecederaan kaki kanan serius yang memerlukan tempoh panjang untuk pulih.

Begitu juga dengan Kaimbi yang terpaksa ditamatkan kontraknya bersama skuad The Red Warriors (TRW) musim lepas kerana koyak urat keting semasa menjalani latihan pasukan.

Selain Kelantan, Kaimbi pernah beraksi dengan tiga kelab Thailand, iaitu Bangkok Glass, Chiangrai United dan Suphanburi.

Difahamkan, kesan kecederaan serius sewaktu bermain dengan Tok Gajah sebelum ini menjadikannya sukar untuk Forkey Doe mendapat kembali rentak permainannya.

Berbanding Forkey Doe, difahamkan Kaimbi dilihat lebih mempamerkan semangat yang tinggi untuk kembali beraksi sebagai pemain bola sepak setelah berehat panjang ekoran kecederaan dialaminya sebelum ini.

Selain Nwakaeme (Nigeria) dan Ze Love (Brazil), skuad Tok Gajah pada musim ini turut menyenaraikan tiga lagi pemain import iaitu Harold Goulon (Perancis), Safuwan Baharudin (Singapura) dan Saddil Ramdani (Indonesia).

Ekoran perkembangan terbaharu itu, peminat Pahang kini menunggu pemain import yang bakal digugurkan dalam usaha memperkasakan kembali skuad Tok Gajah. - UTUSAN ONLINE