Tiga hari lalu, dua pemain penyerang iaitu Forkey Doe dari Liberia dan Lazarus Kaimbi dari Namibia kelihatan menyertai latihan skuad itu sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat Tok Gajah.

Forkey Doe merupakan bekas pemain Tok Gajah musim lalu manakala Kaimbi pernah menyarung jersi skuad Kelantan.

Khidmat Forkey Doe bersama Tok Gajah berakhir pada Mac tahun lepas selepas pemain itu mengalami kecederaan kaki kanan serius yang memerlukan tempoh panjang untuk pulih.

Begitu juga dengan Kaimbi yang terpaksa ditamatkan kontraknya bersama skuad The Red Warriors (TRW) musim lalu kerana koyak urat keting semasa menjalani latihan pasukan.

Selain Kelantan, Kaimbi pernah beraksi dengan tiga kelab Thailand, iaitu Bangkok Glass, Chiangrai United dan Suphanburi.

Difahamkan, kesan kecederaan serius sewaktu bermain dengan Tok Gajah sebelum ini menjadikannya sukar untuk Forkey Doe mendapat kembali rentak permainannya.

Berbanding Forkey Doe, difahamkan Kaimbi dilihat lebih mempamerkan semangat yang tinggi untuk kembali beraksi sebagai pemain bola sepak setelah berehat panjang ekoran kecederaan dialaminya sebelum ini.

Musim ini, skuad Tok Gajah menyenaraikan lima pemain import iaitu Dickson Nwakaeme dari Nigeria, Ze Love (Brazil), Harold Goulon (Perancis), Safuwan Baharudin (Singapura) dan Saddil Ramdani (Indonesia).

Dalam beberapa aksi Liga Super sebelum ini, jurulatih Pahang, Dollah Salleh tidak menyembunyikan kekecewaannya ekoran permainan tidak konsisten anak buahnya terutama ketumpulan jentera serangan.

Ekoran itu, peminat kini menunggu pemain import yang bakal digugurkan dalam usaha memperkasakan kembali skuad Tok Gajah. - UTUSAN ONLINE