Timbalan Presiden KAFA, Datuk Seri Affandi Hamzah berkata, walaupun kantung kewangan badan induk itu dilihat berada dalam keadaan tenat ia sama sekali menjadi halangan untuk memastikan perjuangan TRW 2019 tidak terkubur.

“Tenat atau tidak (kewangan) ia bukan isu. Ini soal tanggungjawab KAFA terhadap bola sepak Kelantan. Kami tidak akan lari dari tanggung jawab.

“Kami sentiasa terbuka dan amat menyambut baik usaha untuk bantu KAFA. Hal ini kerana kita sedar masyarakat Kelantan sayangkan TRW,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, arena bola sepak Kelantan berada diambang ‘pengakhiran’ apabila Syarikat My Inspiration Sdn. membatalkan serta merta perjanjian menguruskan pasukan yang dimeterai dengan Kafa.

Affandi memberitahu, sebelum ini menyerahkan pengurusan tersebut kepada syarikat KRW Sdn Bhd dengan jaminan MyInspiration Sdn Bhd.

Katanya, KAFA berbuat demikian pada tahun ini selepas didatangi sebuah syarikat yang ingin membantu badan induk itu untuk bersama-sama menguruskan TRW.

“Kita terbuka menerima sebarang usaha daripada mana-mana pihak yang ingin tampil membantu Kafa hingga kita setuju tandatangan perjanjian dengan pihak berkaitan.

“Dengan perkembangan terkini (penamatan kontrak) ini, maka Kafa akan teruskan tanggungjawab sebagaimana biasa,” ujarnya.

Affandi berkata, pihak untuk itu KAFA telah merangka beberapa pelan untuk mengatasi masalah tersebut termasuklah mengadakan pertemuan dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL). - UTUSAN ONLINE