Timbalan Presiden Kafa, Datuk Seri Affandi Hamzah berkata, sehubungan itu, buat masa ini pihaknya masih belum dapat memberikan sebarang maklum balas berhubung perkara itu.

Beliau bagaimanapun menegaskan, sebarang pembatalan kontrak sepatutnya dilakukan mengikut prosedur iaitu secara akuan bertulis.

“Sejurus mendapat surat rasmi daripada pihak berkenaan, barulah Kafa membuat kenyataan rasmi mengenai perkara ini.

“Setakat ini, berita pembatalan kerjasama itu hanya diketahui oleh kami menerusi laporan akhbar,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

My Inspiration Sdn. Bhd. merupakan pemilik saham terbesar dalam KRW Sdn. Bhd dengan pemegang saham berjumlah 70 peratus selebihnya dimiliki Bibi Ramjani Ilias Khan.

Utusan Malaysia semalam melaporkan syarikat itu membatalkan kerjasama dengan Kafa menerusi KRW Sdn. Bhd.

Pembatalan itu meletakkan Kafa berada di ambang kemusnahan selepas sebelum ini berdepan masalah kewangan serius.

Sementara itu, Ketua Pegawai Ekesekutif My Inspiration Sdn. Bhd Ahmad Fazli Mohammad ketika dihubungi berkata, pihaknya menerusi peguam syarikat telah menghantar surat itu kepada Kafa kelmarin menerusi kiriman email.

Beliau yang enggan mengulas lanjut berkata, pihaknya telah menghantar surat dalam bentuk fizikal kepada Kafa menggunakan kiriman pos, semalam.

“Apa-apa urusan selepas ini boleh rujuk peguam syarikat,” ujarnya ringkas. - UTUSAN ONLINE