BIBI RAMJANI

Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pemotongan mata itu gara-gara badan induk tersebut gagal melunaskan tuntutan tunggakan gaji membabitkan bekas pengarah teknikal pasukan Alfredo Gonzales sebagaimana telah ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Menurutnya, tunggakan itu sepatutnya dijelaskan oleh KRW Sdn. Bhd melalui usahasama sebagaimana perjanjian yang telah dimeterai.

“Setelah pengambil alih KRW Sdn. Bhd oleh pihak berkenaan (MyInspiration), mereka telah bersetuju untuk membayar segala hutang yang ditanggung oleh Kafa termasuklah membayar tuntutan gaji Gonzales seperti mana yang diarahkan oleh FIFA.

“Namun akibat kemelut gaji tertunggak kembali melanda Kelantan untuk bulan Februari dan Mac termasuklah tuntutan gaji Gonzales menyebabkan FIFA terpaksa mengambil tindakan tegas memotong tiga mata,” katanya.

Bibi Ramjani memberitahu, pemotongan mata itu membabitkan kemenangan Kelantan ke atas UKM FC di Stadium Cheras sebelum ini.

Katanya, tindakan itu seolah-olah satu ‘kerugian’ buat pemain yang bersusah payah mencipta kemenangan dalam aksi tersebut.

“Saya menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka. Diharap pemain jangan mudah patah.

“Sebaliknya kembali bangkit dalam perlawanan selepas ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Bibi Ramjani berkata, KAFA sedaya upaya berusaha untuk menyelesaikan semua tuntutan pemain dan para pegawai yang terlibat secara berperingkat mengikut kemampuan pemilikan kewangan pasukan

Difahamkan tuntutan gaji Gonzales dengan Kafa berjumlah RM225,940.- UTUSAN ONLINE