Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors Kota Bharu (TRW KB) Mohd. Zainy Mohd. Zain berkata, langkah tersebut bertujuan memastikan ‘pemain ke-12’ mendapat maklumat yang jelas mengenai hala tuju dan masa depan pasukan bola sepak Kelantan dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) 2019 ini.

“Sebagai peminat kami tidak mahu apa yang menimpa pasukan Perlis sebelum ini berulang kepada pasukan Kelantan.

“Mahu atau tidak KAFA perlu berterus terang secara jujur mengenai kedudukan sebenar badan induk itu.

“Lagipun pihak My Inspiration Sdn. Bhd telah memperincikan perkara sebenar menerusi kenyataan akhbar. Jadi Kafa pun perlu buat perkara yang sama,” katanya ketika mengulas kemelut yang sedang melanda Kafa ketika ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, arena bola sepak Kelantan mungkin berada di ambang kemusnahan apabila My Inspiration Sdn. Bhd. membatalkan serta-merta perjanjian menguruskan pasukan Kelantan yang dimeterai dengan Kafa sebelum ini.

Mohd. Zainy memberitahu, Kafa juga dilihat lebih selesa ‘berahsia’ mengenai kedudukan kewangan pasukan.

Katanya, lebih memburukkan keadaan Kafa juga dilihat gagal menarik tajaan-tajaan besar bagi mengisi kantung kewangan badan induk yang dilihat berada dalam keadaan tenat.

“Sebagai contoh tabung kutipan yang dilancarkan sebelum liga bermula tidak umumkan hasil dan perkara itu ‘tersimpan rapi’ tanpa sebarang khabar,” ujarnya.

Mohd. Zainy berkata, TRW KB berpandangan, KRW Sdn. Bhd adalah jalan terbaik menyelesaikan masalah kewangan Kafa tetapi sebaliknya berlaku.

“Melihat keadaan ini, kami berada dalam keadaan bimbang dan pastinya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang memerhatikan perkara tersebut,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE