Jurulatih itu, yang membantu Portugal menjuarai Euro 2016 di Perancis dua tahun lalu, turut mengesahkan bahawa ketua pasukan Cristiano Ronaldo akan bermain dalam perlawanan persahabatan di laman sendiri menentang Algeria yang merupakan perlawanan pemanas badan ter­akhir mereka sebelum ke Rusia.

Ronaldo, yang merupakan penjaring terbanyak Portugal, tidak menyertai latihan minggu pertama dan perlawanan persahabatan menentang Tunisia serta Belgium kerana diberikan rehat selepas bermain dengan Real Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara menentang Liverpool hujung bulan lalu.

“Perkara sama berlaku sebelum Euro 2016 dengan Ronaldo dan Pepe apabila mereka berdua terlibat dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara.

“Setakat ini Ronaldo sudah pasti akan memulakan perlawanan (menentang Algeria),” kata Santos.

Sebanyak 10 pemain daripada skuad Euro 2016 tidak dapat ke Rusia kerana masalah kecederaan serta tahap prestasi dan Santos memberitahu bahawa kali ini amat sukar untuknya membuat pilihan berbanding dua tahun lalu.

“Saya ada banyak keraguan, saya mempunyai 23 pemain dan mempunyai keyakinan penuh ke atas setiap pemain.

“Masih ada seminggu lagi sebelum memulakan kempen (Piala Dunia) dan kita akan lihat apa yang berlaku dalam sesi latihan.

“Sudah tentu ini adalah perkara asas buat pasukan dan sesete­ngah pemain semakin hampir berada dalam kesebelasan utama.

“Walau bagaimanapun, semuanya tidak membawa apa-apa makna di peringkat ini untuk menjangkakan kesebelasan utama kerana terdapat begitu ba­nyak ketidakpastian,” katanya.

Portugal akan berdepan Sepanyol di Sochi pada 15 Jun dalam persaingan peringkat kumpulan yang turut menyaksikan mereka diundi bersama Maghribi dan Iran. – REUTERS