Rata-rata penonton yang datang menyaksikan perlawanan pulang dengan penuh kehampaan apalagi kalah kepada sebuah pasukan seperti Singapura di gelanggang yang mungkin bukan lagi keramat berbanding aksi final acara bola sepak Sukan SEA atau ketika Piala AFF Suzuki yang lalu.

Stadium Nasional mungkin terlalu besar untuk kejohanan empat penjuru yang disertai oleh Oman, Afghanistan, Singapura dan Malaysia selaku tuan rumah. Dengan kapasitinya yang mampu ‘menelan’ 90,000 penonton, sebaliknya hanya disaksikan kurang 4,000 penonton.

Dengan harga tiket yang mahal ia mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan peminat apalagi penyokong tegar seperti ultras. Bayangkan mereka terpaksa berbelanja RM35 untuk mendapatkan tiket perlawanan dan membayar RM20 untuk menyaksikan satu lagi perlawanan dalam kejohanan lain.

Ramai pula yang tertanya-tanya disebalik rasional pe­nganjuran kejohanan Piala Airmarine ini. Khabarnya ramai dalam kalangan peminat yang menganggap kejohanan ini tidak begitu penting, sekadar jalan pintas untuk memperbaiki ranking negara yang sudah terperosok jauh.

Malangnya mengadakan kejohanan berbentuk jemputan dalam waktu terdekat itu sekadar mencetuskan kecelaruan. Kita ada dua pertandingan dalam masa seminggu yang memaksa peminat memilih kejohanan mana yang sepatutnya mereka tonton.

Bukan mahu menyebelahi mana-mana pihak, tetapi tindakan ultras Malaya memulaukan kejohanan itu mungkin bersebab.

Pertama, mereka mempersoalkan tujuan sebenar kejohanan empat penjuru itu, kedua tentang harga tiket yang dikatakan mahal dan yang ketiga, mengapa ia berlangsung dalam waktu terdekat ketika pasukan Bawah 23 mempunyai misi yang lebih besar untuk menempah tempat ke pusingan akhir Piala AFC B-23.

Kebanyakan warga net dalam media sosial menyifatkan kejohanan empat penjuru ini tidak berapa penting yang menyebabkan mereka malas ke stadium atau memilih aksi kelayakan Piala Asia B-23.

Hanya tiga hari sahaja memisahkan tarikh perlawanan Piala Airmarine dengan pusingan kelayakan Piala Asia (B23) itu. Bermakna bagi mereka yang menjadi penyokong tegar terpaksa berbelanja dua kali untuk menyaksikan perlawanan.

Itulah harga yang perlu dibayar oleh peminat sedangkan tumpuan utama lebih terarah kepada skuad bawah 23 yang diakui sedang berada di landasan yang betul untuk mengubah hala tuju bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa.

Dengan reputasi cemerlang, mara ke suku akhir termasuk menewaskan Arab Saudi di China tahun lalu, sudah tentulah pasukan muda ini diberi tempat atau mendapat perhatian peminat.

Ketika Malaysia berusaha meletakkan diri dalam ranking terbaik dunia, para peminat bola sepak ini tidak perlu dipersalahkan. Mereka menuntut aksi terbaik dan bukannya sebuah kejohanan yang sekadar melepaskan `batuk ditangga’.

Ranking tidak membawa Malaysia ke mana-mana. Biarlah kedudukan itu naik secara automatik atau merit dalam kejohanan-kejohanan rasmi Asia dan bukannya menggunakan jalan pintas dengan penganjuran kejohanan empat penjuru ini.

Kalau beria-ia mahu menaik­kan ranking negara, anjurlah kejohanan yang betul-betul bermanfaat seperti Pestabola Merdeka yang sudah lama terkeluar daripada kalendar antarabangsa.

Sebagai sebahagian daripada peminat, kami amat merindui kejohanan Pestabola, yang banyak melahirkan bintang-bintang Asia dan Afrika tidak lama dahulu. Mungkin nama seperti Cha Ba Keun, Kim Jae-han (Korea Selatan) atau Kunishige Kamamoto dari Jepun masih terngiang-ngiang kepada peminat tegar yang masuk usia veteran.

Menjelang perlawanan menentang Filipina untuk aksi kelayakan Piala AFC B-23 hari ini, keadaan mungkin berbeza. Ultras dijangka kembali memberi sokongan di Stadium Shah Alam. Kepada peminat bola sepak yang lain, jom kembali ke stadium…