Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola­sepak Malaysia (FAM), Md Dali Wahid berkata, Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) memberi jaminan akan menghantar pe­ngadil terbaik untuk mengendalikan perlawanan di antara Kedah dan Perak di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 27 Julai depan.

Beliau percaya, penggunaan pengadil dari Jepun itu akan memastikan kontroversi final Piala Malaysia 2018 tidak berulang apabila pengadil ketika itu, Suresh Jayaraman dikritik kerana membuat beberapa keputusan buruk ketika Perak menewaskan Terengganu menerusi penentuan sepakan penalti 4-1.

Begitupun Md Dali menegaskan, keputusan yang diambil itu bukan bermakna pihaknya tidak memperakui kualiti yang dimiliki pengadil tempatan, sebaliknya hanya mahu membuka mata kepada peminat bola sepak untuk membuat perbandingan.

“Pertama saya menegaskan, kita tidak pernah menyatakan pengadil tempatan tiada kua­liti.

“Saya harap ia tidak dijadikan isu hanya kerana satu perlawanan menggunakan pe­ngadil luar terus jatuh hukum kita membelakangkan pengadil tempatan.

“Untuk memuaskan hati semua pihak bukan senang. Ini proses percubaan kerana sebelum ini majoriti peminat bola sepak tanah air berpendapat pengadil tempatan tiada kualiti dan mutu pengadilan lemah, sekarang biar mereka menilai sendiri.

“Apa salahnya kita menggunakan tenaga luar dalam satu perlawanan ber­intensiti tinggi dan cuba melihat kredibiliti pengadil itu mengendalikan aksi tersebut.

“Pemilihan pengadil dari Jepun juga kerana kita ada kerjasama FAM dengan Persatuan Bola Sepak Jepun,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam masa sama katanya, untuk meningkatkan mutu pengadilan, pelbagai cara perlu dilakukan dan pengambil pe­ngadil luar hanya antara inisiatif yang diambil FAM.

“Manfaat yang diperolehi pengadil tempatan mungkin tidak banyak tetapi sedikit sebanyak kita dapat mempelajari ilmu daripada mereka iaitu sebelum, semasa dan selepas perlawanan.

“Mungkin SOP (Prosedur operasi standard) mereka berbeza, selain kewibawaan me­ngendali perlawanan besar,” ujarnya.

Mengulas sama ada, final Piala Malaysia akan turut menggunakan pengadil luar, Dali menjelaskan kebarangkalian itu ada tetapi perlukan perbincangan.

“Ia melibatkan kos yang tinggi. Kita akan bincang secara mendalam sebelum membuat keputusan,” jelasnya.