Sumareh yang mendapat ke­rakyatan Malaysia pada April lalu dipanggil untuk menyertai kem latihan skuad kebangsaan bersama-sama dua lagi pemain Tok Gajah iaitu Norshahrul Idlan Talaha dan Matthew Davies bagi menyertai kem latihan skuad kebangsaan yang akan menentang Sri Lanka dan Kyr­gzystan dalam dua perlawanan persahabatan bulan ini.

Pemain kelahiran Gambia berusia 27 tahun itu berkata, pada mulanya dia terkejut menerima perkhabaran gembira tersebut dan berterima kasih kepada Cheng Hoe kerana memberikan kepercayaan kepadanya.

“Ini pastinya merupakan peluang keemasan dan terbaik saya untuk bermain mewakili pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia.

“Sudah tentu saya akan memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin dan saya percaya seluruh peminat bola sepak di negara ini turut mengharapkan saya dapat bermain untuk Malaysia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sumareh percaya Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) tidak mempunyai masalah untuk melepaskannya dan dua lagi pemain Pahang untuk mewakili skuad kebangsaan.

“Sebelum ini kami mempu­nyai komitmen dalam pertandi­ngan Piala Malaysia, saya percaya (sekarang) tiada halangan daripada PBNP melepaskan kami,” katanya.

Sementara itu, pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, Pahang tidak mempunyai halangan untuk Sumareh dan dua lagi pemain Tok Gajah untuk beraksi mewakili pasukan bola sepak kebangsaan.

“Insya-Allah mereka boleh bermain untuk pasukan kebangsaan,” katanya.