Bagaimanapun, presiden wa­nita pertama KAFA itu me­ngingatkan bakal penggantinya, Datuk Seri Amril Aiman Ab. Aziz supaya mempunyai sumber kewangan cukup jika mahu me­nerajui badan induk tersebut.

Tanpa berselindung, Bibi Ramjani berkata, beliau ber­syukur ada individu yang mahu menerajui badan induk itu yang ketika ini berdepan bebanan hutang.

Menurutnya, sumber kewa­ngan yang kukuh amat diperlukan dalam menggerakkan KAFA bagi memastikan pengurusan berjalan dengan lancar.

“Saya bersedia lepaskan jawatan (Presiden KAFA). Semasa perbincangan sebelum ini beliau (Amril Aiman) beritahu baru hendak mencari dana.

“Yang penting mesti ada dana dan kalau boleh jangan bercakap sahaja kerana benda tak selesai dengan hanya bercakap
kerana kita berdepan kekangan masa,” katanya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan seorang ahli perniagaan muda dari Kota Bharu yang berusia 31 tahun menawar diri untuk mengemudi KAFA.

Bibi Ramjani memberitahu, peralihan kuasa hanya dapat dilakukan sekiranya ahli perniagaan itu mempunyai dana kewangan yang betul-betul kukuh.

Katanya, sebelum ini beliau kecewa apabila ramai yang ha­nya bercakap hendak membantu menyelesaikan masalah kewangan KAFA namun sebaliknya.

“Saya harap beliau bersedia dengan apa yang saya beritahu tempoh hari. Hanya dana yang boleh melancarkan urusan KAFA dan ia mestilah ada (sekarang) bukan ambil jawatan baharu nak cari,” ujarnya.

Amril Aiman semalam turut mendedahkan, Bibi Ramjani mahu beliau membayar RM5.3 juta duit miliknya yang dipinjamkan kepada KAFA.