Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias hari ini mengarahkan pemain berusia 37 tahun itu menjalani latihan kerana badan bola sepak tersebut belum membuat keputusan berhubung hasratnya untuk meninggalkan TRW.

Pada Ahad lalu, Badhri yang lebih dikenali sebagai Piya menghantar surat untuk meninggalkan Kelantan tidak sampai sebulan kembali ke pangkuan pasukan kerana sedar dia mungkin sudah tiada tempat bersama TRW.

Telerainya kerjasama antara KAFA dan My Inspiration Sdn. Bhd. baru-baru ini adalah punca bintang tengah itu mengambil keputusan berundur.

“Dalam kontrak tertera gaji harus dibayar pada setiap 7 hari bulan, namun sehingga hari ini saya belum menerima sebarang bayaran.

“Jadi saya harap KAFA tidak buat-buat ‘lupa’ dalam isu ini,” kata Badhri kepada Utusan Malaysia.

Badhri sebelum ini meninggalkan Kelantan untuk menyertai Perlis pada Disember lalu gara-gara tidak dibayar gaji.

Bagaimanapun dia turut ditimpa malang bersama pasukan baharunya apabila Singa Utara juga berdepan isu tunggakan gaji hingga disingkir daripada saingan Liga Perdana.

Badhri bersetuju untuk kembali ke pangkuan Kelantan selepas menerima tawaran Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) My Inspiration, Ahmad Fazli Mohammad.

Malangnya, My Inspiration kemudian menamatkan kerjasama dengan KAFA kerana gagal menemui kata sepakat.

Sementara itu, Bibi Ramjani terdahulu mengarahkan Badhri berlatih seperti biasa bagi mematuhi kontrak.

“Kalau dulu semuanya berkenaan kontrak, KAFA kena patuh, jadi (sekarang) baik Piya ikut kontrak dahulu,” katanya.

Beliau turut mengumumkan Syarikat Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn. Bhd. akan diuruskan kelab penyokong.