Walaupun Jerman turut mempamer aksi memberangsangkan dalam laluan ke suku akhir apabila membenam Slovakia 3-0, namun Loew mengakui, dia bimbang dengan ancaman serangan balas Itali, yang terbukti berkesan sepanjang saingan di Perancis.

Skuad Azzurri berjaya menumbangkan pasukan-pasukan besar seperti Belgium (2-0), Sweden (1-0) dan Sepanyol (2-0), malah hanya hanya dibolosi sekali iaitu ketika tewas 0-1 kepada Ireland dalam aksi terakhir peringkat kumpulan - yang tidak diambil serius kerana sudahpun mengesahkan tiket kalah mati lebih awal.

“Saya tidak sabar untuk mengharungi perlawanan ini. Itali cukup mengagumkan (ketika menentang Sepanyol).

“Itali sangat baik di bahagian pertahanan, selain memiliki kualiti serangan yang bagus. Mereka lebih baik dari 2012.

“Kita perlu mengelak serangan balas Itali dan mempunyai pelan yang bagus untuk berdepan mereka.

“Sami Khedira (beraksi bersama Juventus) adalah pemain yang bijak dan saya akan mendapatkan nasihat daripadanya menjelang perlawanan Itali,” katanya.

Sementara itu, penyerang kontroversi Itali yang tidak dibawa ke Perancis, Mario Balotelli percaya, skuad Azzurri memiliki material untuk membawa pulang kejuaraan Eropah kali ini, apatah lagi selepas menumbangkan juara bertahan, Sepanyol.

Balotelli merupakan tonggak Itali ketika pasukan itu melangkah ke final empat tahun lalu, termasuk meledak gol ketika mengetepikan Jerman dalam separuh akhir.

“Dua gol saya menentang Jerman pada 2012? Sudah tentu ia akan diingati kerana kami bermain di separuh akhir.

“Tetapi saya tidak berminat bercakap mengenai perkara lampau. Kita hanya perlu melihat pasukan Itali sekarang. Mereka ada kualiti untuk mengalahkan Jerman, malah mereka boleh muncul juara.

“Tidak kisah siapa pun lawan yang akan ditemui dalam perlawanan akhir nanti, saya percaya Itali boleh mengatasinya. Saya harap kami muncul juara,” katanya. – AGENSI