Pemain kebangsaan England itu menjadi salah seorang penyerang berbahaya dalam saingan Liga Perdana Inggeris di bawah kepimpinan Guardiola.

Bekas pemain sayap Liverpool itu menjaringkan 18 dan 17 gol ketika membantu pasukan itu menjadi juara Liga Perdana Inggeris selain empat gol dalam dua penampilan termasuk hatrik ketika menundukkan West Ham.

Guardiola percaya, keadaan sukar untuk Sterling merebut anugerah kasut emas bersama penyerang lain tetapi memuji kesungguhan pemain itu.

“Dia adalah pemain yang lebih baik, sama seperti yang saya katakan musim lalu. Ini semua adalah usahanya sendiri.

“Keadaan menjadi semakin baik apabila dia bersedia untuk dikritik dan menjadi lebih baik daripada keadaan semasa.

“Dia pemain yang sangat terbuka. Sejak hari pertama saya sampai. Atas sebab itu dia menjadi antara pemain yang hebat,” katanya.-AGENSI