Tanpa berselindung, Yusri mendedahkan kemenangan itu hasil usaha keras seluruh barisan pemainnya yang berjuang sebaik sahaja wisel ditiup hinggalah tamat perlawanan.

Yusri berkata, kejayaan itu turut dipacu oleh tahap keyakinan tinggi yang diperagakan oleh barisan pemain terutama dalam aspek kawalan bola dan corak serangan.

“Saya tidak nampak kita terlalu bagus, cuma kawalan bola lebih baik daripada sebelum ini dan kerana itulah kita berjaya,” katanya.

Yusri memberitahu, kejayaan itu cukup bermakna kerana ia merupakan kemenangan pertama yang dirakam Kelantan di laman sendiri musim ini.

“Saya akui pemain berdepan dengan kesukaran untuk melakar kemenangan selepas hanya mampu seri dan kalah dalam empat perlawanan terdahulu, ditambah pula dengan ‘suasana’ ketika ini.

“Namun mereka kekal fokus dan berjaya meraih kemenangan, jadi saya ucap terima kasih kepada diatas kejayaan ini,” ujarnya.

Yusri berkata, sekiranya Kelantan tidak berdepan dengan pemotongan mata, pastinya The Red Warriors (TRW) berada dalam kelompok pertengahan liga.

Pada perlawanan itu, jaringan kemenangan tuan rumah dihasilkan oleh Nik Akif Syahiran Nik Mat (minit ke-30) dan Mohamad Azwan Aripin (minit ke-42) sementara gol pelawat diperoleh melalui Makeche Ndumba (minit ke-47).-UTUSAN ONLINE.