Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) menyediakan 70,000 tiket, yang mana 60,000 daripadanya dijual kepada umum menerusi pembelian dalam talian.

Menurut Timbalan Setiausaha PSSI, Marsal Masita, situasi itu sudah dijangkakan kerana pertemuan dengan Thailand diadakan pada waktu bekerja, malah berlangsung hanya lima hari selepas skuad Garuda menentang Harimau Malaya.

“Sehingga Isnin pagi 9 September, baru 7,000 tiket terjual.

“Kami memang tidak menjangkakan kehadiran yang ramai di stadium kali ini kerana ramai yang memilih untuk menonton perlawanan menentang Malaysia, ditambah aksi kali ini berlangsung pada hari bekerja dan bukan hujung minggu,” katanya yang dipetik kepada CNN Indonesia.

Menurut Marsal lagi, PSSI tidak menurunkan harga tiket biarpun jualan agak lembab yang mana tiket termurah dijual pada harga 125,000 rupiah (RM37.15), diikuti 175,000 rupiah (RM52) dan 350,000 rupiah (RM104). Tiket bagi kategori VIP pula dijual pada harga 750,000 rupiah (RM223).

“Tidak ada perubahan harga tiket, sama seperti ketika menentang Malaysia.

“Cuma untuk pembeli yang menggunakan aplikasi Garuda Store di telefon bimbit boleh menikmati diskaun pada kadar 20 peratus bagi tiket kategori 2 (175,000 rupiah),” katanya lagi.

Indonesia kalah 2-3 kepada Malaysia dalam aksi pembukaan Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, minggu lalu dan tidak boleh tewas kepada Thailand jika mahu mencerahkan peluang. - UTUSAN ONLINE