Perkara itu dibangkitkan selepas badan induk bola sepak negara tersebut menyifatkan tindakan PFAM tidak bertanggungjawab kerana mengeluarkan kenyataan ‘kurang tepat’ me­ngenai isu tunggakan gaji berjumlah RM6.4 juta.

Menerusi kenyataan balas dikeluarkan PFAM hari ini, menjelaskan tindakan berkenaan tidak dilakukan secara terburu-buru, sebaliknya telah membuat perbincangan dan rundingan bersama pasukan yang terlibat dengan memberi tempoh masa yang cukup panjang bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

“Secara jujurnya kami amat terkejut apabila beliau (Stuart Ramalingam) menyelar kami atas kenyataan yang kami buat, sedangkan beliau sendiri telah bersetuju bahawa masalah tunggakan gaji di Malaysia perlu diselesaikan, malah kenyataan kami tidak pun ditujukan kepada FAM, mahupun MFL (Liga Bola Sepak Malaysia).

“Kami rasa kesal kepada Stuart, apabila usaha kami untuk menyedarkan pasukan-pasukan ini bagi memastikan kita pada landasan yang tepat ditempelak sendiri oleh beliau.

“Malah, dengan merujuk pertemuan yang sama dinyatakan oleh beliau, bersaksikan pemain-pemain Hanelang dan TCFC, beliau juga bersetuju untuk kami mengeluarkan kenyataan bagi menyelar pasukan-pasukan yang melepaskan tanggungjawab ini.

“Lebih mengecewakan, apabila beliau mengugut untuk mengkaji semula kerjasama bersama PFAM, dan ternyata ini memberikan mesej salah kepada semua berkenaan sejauh mana keikhlasan beliau, untuk membantu para pemain yang semakin hari semakin ditindas oleh para pasukan,” menurut kenyataan PFAM di sini hari ini.

Ahad lalu, Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail mendedahkan terdapat pasukan yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) yang belum melunaskan tunggakan gaji iaitu Pahang, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan dengan alasan menunggu wang geran hak penyiaran daripada MFL.

Dalam pada itu, ATM, PDRM dan Felda FC sudah membuat perjanjian untuk bayaran secara berperingkat kepada pemain namun masih melanggar perjanjian tersebut manakala Perlis, TCFC, Hanelang, Kuantan FA dan Marcerra United tiada jaminan.

“Kami kesal, tatkala FAM dan MFL sedang berusaha untuk membawa hala tuju bola sepak negara ke tahap yang lebih baik menerusi F:30 dan NEX50, masih terdapat pasukan yang dilihat tidak ‘senada’ menerusi tindakan mereka.

“Isu gaji adalah isu paling fundamental dan sekiranya ia tidak boleh diatasi, inilah yang akan menjadi penghalang kepada visi FAM mahupun MFL. Inilah kerisauan yang kami zahirkan dalam kenyataan kami.

“Perlu diingatkan, pasukan-pasukan inilah yang merupakan penggerak untuk merealisasikan visi tersebut, dan kami juga bersedia untuk bersama-sama ke arah itu, lantas menjadikan kami bertindak dengan lebih drastik untuk terus mendesak pasukan-pasukan yang masih lemah dalam urus tadbir masing-masing,” jelasnya lagi. - UTUSAN ONLINE

INFOGRAFIK

Kes Pahang dan Negeri Sembilan

-Tuntutan gaji bekas pemain import mereka, Alex de Morais yang dipinjamkan oleh pasukan Pahang ke pasukan Negeri Sembilan dimana kedua-dua pasukan bersetuju untuk berkongsi membuat bayaran gaji pemain tersebut.

Kes Melaka

-Tuntutan yang dibuat oleh pemain antaranya G. Puaneswaran, Syawal Norsam, Faridzuean Kamarudin, Tiago Gomes, Lee Chang Hoon dan pemain-pemain skuad Presiden yang berjanji bahawa bayaran akan dibuat setelah mendapat wang geran hak penyiaran daripada pihak MFL, tetapi sehingga kini berdiam diri. 


Kes Kelantan

-Tuntutan pemain seperti Brendan Gan, Noor Hazrul, Daudsu Jamaludin, Zairul Fitree, Amiridzwan Taj, Badhri Radzi dan beberapa orang lagi yang tunggakan ini ada yang sudah pun berlanjutan hampir 5 tahun.

Kes ATM
-Melibatkan 9 pemain perjanjian dibuat pada 30 Mei 2018.

Kes PDRM FA

-Tuntutan Nakatake Shunsuke (22 Mei 2019), Petrisor Voinea, Izaaq Izhan). Ada perjanjian baik secara bertulis dan juga secara lisan tetapi pasukan tidak membuat bayaran mengikut jadual pembayaran yang sudah dipersetujui.