Kekalahan tersebut turut memaksa pengendali skuad Three Lions, Roy Hodgson melepaskan jawatannya dengan penuh kehinaan.

Ragnar Sigurdsson dan Kolbeinn Sigthorsson menempa sejarah dalam bola sepak Iceland apabila masing-masing menjaringkan gol untuk membantu pasukan mereka menewaskan England 2-1 walaupun mereka merupakan negara terkecil dalam sejarah kejohanan.

Meskipun Iceland sekadar memiliki populasi kira-kira 330,000 orang namun itu tidak menghalang mereka untuk mara ke suku akhir dan dijadualkan bertemu tuan rumah Perancis.

Dengan memiliki penduduk 53 juta serta mempunyai liga domestik yang kaya, kekalahan ini pasti membuatkan penyokong England berasa malu dan kecewa selepas pasukan mereka tersingkir daripada Euro 2016.

Pemain England tergamam dengan kekalahan tersebut manakala Hodgson membacakan kenyataan perletakkan jawatannya sebaik sahaja wisel penamat ditiupkan namun keadaan sebaliknya berlaku dalam kem Iceland apabila pemain meraikan kejayaan mereka bersama 3,500 penyokong di stadium.

Kapten Iceland, Aron Gunnarsson yang beraksi bersama Cardiff di England berkata pasukannya seperti huru-hara dengan kemenangan tersebut.

“Ini adalah detik kebanggan untuk kami malah akan menjadi kenangan terindah sepanjang hidup kami. Kami sentiasa percaya kepada diri sendiri. Itu merupakan sikap kami,” katanya lagi.

Kapten Manchester United, Wayne Rooney meletakkan England di depan seawal minit keempat permainan selepas menyempurnakan penalti bagaimanapun Sigurdsson menyamakan kedudukan dua minit kemudian sebelum Sighthorsson meledakkan gol kemenangan.

England masih belum dapat menerima kekalahan tersebut dan Hodgson perlu bertanggungjawab sepenuhnya.

“Saya sangat kecewa dengan keputusan malam ini dan penyingkiran kami daripada kejohanan. Kami tidak menunjukkan perkembangan seperti yang saya jangkakan dan sudah pasti ini tidak boleh diterima. Kami memburu kemenangan.

“Sekarang adalah masanya untuk seseorang melihat kepada perkembangan pemain muda ini yang laparkan kemenangan,” kata Hodgson dalam kenyataan perletakkan jawatannya. – AFP