Bagaimanapun tidak ramai yang tahu, bekas  penyerang England itu mengalami kemurungan dalam enam bulan pertama di Anfield.

Pada 2000, Heskey menyertai Reds menerusi perpindahan yang memecah rekod ketika itu - 11 juta pound selepas mengharungi enam tahun yang cemerlang di Leicester.

Bagaimanapun, Heskey mendedahkan,  kerinduan terhadap kampung halaman menyebabkan emosinya amat terganggu.

"Saya pernah terbaring di lantai dan mula menangis, saya kemudian bertanya kepada diri sendiri 'apakah yang telah aku lakukan? Apakah aku melakukan perkara yang betul?'.

"Keadaan berlarutan selama enam bulan, sebelum saya mula berfikir, saya kena segera bangkit dan selesaikan masalah ini. Saya ada anak,  ada teman wanita.

“Bagaimanapun yang peliknya, apabila saya menjalani latihan, keadaan kembali OK dan semuanya baik-baik,"  kata Heskey kepada akhbar Britain, The Guardian.

Meskipun memiliki 62 cap bersama England dan berada dalam senarai  28 penyerang yang telah meledak lebih 100 gol Liga Perdana Inggeris, namun Heskey sering dikritik kerana kurang menjaringkan gol di peringkat antarabangsa.

Heskey bagaimanapun membalas kritikan itu dengan menegaskan, dia bermain untuk pasukan dan bukan mengejar kemasyuran individu.

"Saya tahu ada sesetengah penyerang bermain untuk memburu lima gol dan bila gagal, mereka naik angin. Saya tidak peduli  (gol peribadi), saya hanya mahu memberi 100 peratus buat pasukan," katanya lagi.

Sepanjang menyarung jersi Liverpool dari tahun 2000 hingga 2004, Heskey telah meledak 63 gol dalam 223 penampilan.

Di antara tahun 1999 hingga 2010, dia beraksi dalam 62 perlawanan bersama England tetapi hanya menjaringkan tujuh gol.

Kini pada usia 41 tahun, dia sudah bersara daripada bola sepak sejak 2016, dan kelab terakhir yang diwakili adalah Bolton. - AGENSI