Hazard bersedia melakukan penampilan sulung di Vigo selepas menyertai Real menerusi yuran perpindahan bernilai 100 juta euro (RM466 juta) dari Chelsea, Jun lalu.

Bagaimanapun, pemain Belgium itu ditimpa kecederaan sewaktu berlatih di pangkalan latihan dekat Valdebebas dan kini dia dijangka terpaksa diketepikan selama tiga hingga ke empat minggu.

“Selepas ujian dilaksanakan, hari ini, pemain kami, Eden Hazard telah diperiksa Perkhidmatan Perubatan Real Madrid, dia disahkan mengalami kecederaan otot di bahagian anterior paha kanannya.

“Proses pemulihannya akan terus dipantau,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.

Real akan memulakan saingan di laman lawan, esok, sebelum bertemu Real Valladolid dan bertandang ke Villarreal sebelum rehat antarabangsa.

Hazard dijangka kembali bermain dalam perlawanan menentang Levante di Santiago Bernabeu pada 1 September depan.

Ketiadaannya memberi tamparan hebat kepada jurulatih Real, Zinedine Zidane yang berharap pasukannya dapat memulakan saingan dengan persembahan positif selepas beberapa aksi mengecewakan dalam pra-musim.

Zidane telahpun kehilangan Ferland Mendy, yang ditimpa kecederaan betis, dan Marco Asensio pula terpaksa diketepikan selama beberapa bulan akibat keretakan pada anterior cruciate ligament. - AFP