Beraksi di depan 43,000 penyokong sendiri, Harimau Malaya bermula garang apabila membuka tirai jaringan seawal minit pertama menerusi tandukan Syafiq selepas menerima hantaran lintang cantik Matthew Davies daripada sebelah kiri gawang UAE.

Anak buah Tan Cheng Hoe terus menguji benteng pasukan pelawat, kali ini menerusi rembatan Davies pada minit keenam namun berjaya ditepis keluar penjaga gol UAE, Khalid Eisa Bilal.

Jentera serangan negara terus mengasak benteng pertahanan pelawat dan Syafiq hampir meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-13 namun tampanan dalam kotak penalti menyaksikan bola sekadar melintasi tiang gol pasukan diranking ke-65 dunia itu.

Di sebalik kegairahan pasukan Harimau Malaya menyerang, UAE memperolehi peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-29 menerusi penyerangnya, Ali Ahmed Mabkhout namun ketangkasan Farizal Marlias berjaya menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.

Gol yang dicari UAE akhirnya diperolehi pada minit ke-43 hasil tandukan Ali selepas menerima hantaran lintang pertahanan kanan, Mohamed Saleh Almenhali.

Bersambung babak kedua, kedudukan bola lebih banyak berlegar ditengah padang berbanding babak pertama yang menyaksikan Malaysia lebih banyak melakukan serangan ke bentang UAE.

Penyerang sensasi pelawat itu, Ali sekali lagi muncul penjaring buat pasukannya pada minit ke-75 apabila memanfaatkan kesilapan pertahanan negara, Shahrul Saad yang gagal menampan kemas bola hantaran jauh Khalid sebelum melakukan larian deras dan menolak mudah melepasi jangkuan Farizal.

Tersentak dengan jaringan itu, Malaysia kembali mengatur gerakan dan hampir menyamakan kedudukan namun rembatan kencang Safawi Rasid sekadar menggegar tiang pada minit ke-79.

Anak buah Cheng Hoe terus melakukan serangan bertali arus ke kubu UAE sehingga memaksa barisan pertahanan pelawat namun gagal menemui sentuhan penyudah.

Dalam satu lagi perlawanan menyaksikan Thailand melakar kemenangan 3-0 ke atas Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno. - UTUSAN ONLINE