Beberapa pemain mungkin tidak akan beraksi akibat kecederaan seperti Shahrel Fikri Md. Fauzi yang baru mendapat kecederaan ketika perlawanan bertemu Sri Lanka pada Jumaat lalu selain Matthew Davies yang mengalami kecederaan lutut semalam semasa sesi latihan.

Ketua Jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe berkata, barisan serangan turut dilihat mempamerkan peningkatan bukan lagi bermain secara individu tetapi sebagai satu pasukan yang amat diperlukan dalam memantapkan kombinasi para pemain.

Katanya, biar pun dari segi lawan mempunyai kekuatan dari segala aspek selain kedudukan ranking dunia lebih tinggi daripada Malaysia, namun ada dua tiga perkara yang perlu dititikberatkan, antaranya tidak mengambil risiko dibolosi awal.

"Esok adalah perlawanan persahabatan yang ketujuh untuk pasukan kebangsaan dan sudah tentu kita boleh nampak dari satu perlawanan ke satu perlawanan ada peningkatan daripada pasukan ini selain kesungguhan mereka pada setiap permainan.

"Untuk perlawanan esok bagi saya, skuad negara akan bermain atas kekuatan sendiri, dan dalam bola sepak kita perlu menyerang tetapi barisan pertahanan juga perlu diperkuatkan," katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar Pra-Perlawanan Antarabangsa 'A' di Banda Hilir di sini hari ini.

Cheng Hoe berkata, selain itu, Akram Mahinan dan Azizan Nordin dilihat masih belum bersedia untuk diturunkan manakala pemain-pemain lain dalam keadaan baik untuk perlawanan esok yang berlangsung di Stadium Hang Jebat di sini.