Pulau Pinang yang beraksi kali pertama dalam Liga Super selepas lima tahun mendapati cabaran tidak sebagaimana yang dijangkakan dan kini berada di tempat tercorot selepas hanya mencatatkan satu kemenangan, empat seri dan tewas tujuh kali.

Dengan separuh musim tiba ke tempoh rehat dan jendela perpindahan akan dibuka tidak lama lagi, Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) memilih untuk memulakan perubahan pasukan itu dari peringkat pengurusan dan orang yang diberi kepercayaan untuk mempertingkatkan prestasi pasukan adalah jurulatih berprofil tinggi iaitu Hodak.

Bekas jurulatih JDT II, Nenad Bacina pula dilantik sebagai pe­ngurus pasukan dan ketua jurulatih sementara untuk memberi nafas baharu kepada Harimau Kumbang yang kelesuan.

Hodak yang sebelum ini berjaya bersama Kelantan dan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) segera melahirkan keyakinannya bahawa Harimau Kumbang masih boleh diselamatkan daripada terjerumus semula ke Liga Perdana musim depan.

Katanya, punca utama yang dikenal pasti menjadi faktor prestasi buruk Harimau Kumbang sehingga gagal layak ke pertan­dingan Piala Malaysia tahun ini kerana pemain-pemain mereka masih mentah dari segi pengalaman untuk bersaing dalam liga utama negara yang mempunyai pemain berkualiti.

“Ya, kita mempunyai ramai pemain muda daripada skuad Harimau Muda dalam pasukan ketika ini namun tidak mencukupi apabila bersaing dalam Liga Super yang mana standardnya lebih tinggi,” katanya dalam sidang akhbar memperkenalkan orga­nisasi baharu FAP oleh Presidennya, Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff di sini hari ini.