Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata penyokong berang dengan mutu persembahan ditampilkan pasukan yang jelas menjadi punca kekalahan mereka.

Seorang pengguna Facebook, Muhammad Nazir berkata, satu demonstrasi aman perlu dilakukan penyokong Harimau Kumbang sebagai tanda bantahan terhadap pasukan dan FAP, yang diterajui Zairil Khir Johari.

“Kita bagi tamparan kepada pihak pengurusan yang seolah-olah tidak mengambil langkah proaktif menangani masalah ini. Kita kumpul ramai-ramai di luar stadium dan buat protes secara berhemah,” tulisnya.

Kekalahan 1-6 kepada Pahang di Kuantan semalam meletakkan Pulau Pinang kekal di tangga tercorot liga.

Ini adalah kekalahan terbesar pernah dialami oleh mana-mana pasukan Liga Super setakat ini.

Seorang lagi penyokong, Alfie Khyrul menggesa rombakan dilakukan dan pemain yang sering diperkotak-katikkan oleh lawan dibuang manakala pengguna Fecebook lain yang menggunakan nama Tun Ajin Khalid berkata, aksi Pulau Pinang amat memalukan.

Sementara itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri menggesa FAP mengambil tindakan drastik bagi meningkatkan prestasi pasukan.

Ketua Penerangannya, Fahmi Zainol berkata, rombakan pihak atasan termasuk pengurus FAP dan jurulatih perlu dilakukan segera.

Katanya, skuad bimbingan Ashley Westwood akan menjadi pasukan terburuk dalam sejarah andai pembaharuan tidak dilakukan segera.

“AMK bersedia duduk semeja dengan penyokong FAP untuk mendengar luahan mereka terutama berhubung kekecewaan terhadap prestasi pasukan itu.

“Kita juga menawar diri untuk bertanggungjawab dengan sebarang kemungkinan yang berlaku kepada pasukan berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Usaha Utusan Malaysia untuk menghubungi Zairil tidak berjaya kerana dipercayai berada di luar negara ketika ini.