Menurut media Sepanyol, selepas gagal  menyertai Real Madrid pada musim panas lalu, perancang utama Perancis itu sekali lagi akan cuba 'melepaskan diri' pada Januari tahun depan.

Pengurus Real, Zinedine Zidane masih berminat untuk mendapatkan rakan senegaranya itu tetapi harga yang perlu dibayar tidak murah.

Abang pemain tersebut, Mathias Pogba baru-baru ini mendedahkan adiknya ada menghubungi Zidane mengenai perkara itu.

"Saya tahu, dia juga ada bercakap dengan beberapa pemain tetapi sudah tentu bukan (Sergio) Ramos (kapten Real).

"Siapa? Oh, (Lionel) Messi...Kadangkala ada, begitu juga Zlatan (Ibrahimovic). Dia selalu menghubungi (Antoine) Griezmann tetapi itu bukan perkara pelik, mereka adalah rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan.

"Saya tidak pasti kalau ada orang-orang lain di Real Madrid yang berhubung dengannya tetapi ya..Dia kerap berbual dengan (Raphael) Varane dan Zidane," katanya.

Pogba, 26, masih mempunyai kontrak dengan United sehingga 2021, dan Red Devils berusaha memujuknya untuk kekal di Old Trafford tetapi rundingan kontrak baharu masih menemui jalan buntu. - AGENSI