Pengendali TRW, Yusri Che Lah berkata, Ndumba mampu memberikan masalah sekiranya diberikan ruang untuk bergerak bebas pada perlawanan tersebut.

“Selain itu lawan mempunyai kepakaran dalam gerakan dari bahagian sayap.

“Walaupun mereka gagal menjaringkan gol dalam perlawanan sebelum ini namun Pulau Pinang berjaya mengucar- kacir Kelantan terutama pada babak kedua,” katanya.

Yusri memberitahu, Kelantan tidak boleh tumbang kepada Pulau Pinang pada aksi itu nanti kerana situasi itu akan meletakkan mereka berada dalam zon bahaya.

Jesteru, bekas pemain Perlis itu menuntut barisan pemainnya untuk berjuang habis-habisan bagi mendapatkan tiga dalam perlawanan tersebut.

Yusri berkata, hanya kemenangan mampu meredakan tekanan yang sedang dihadapi oleh TRW ketika ini.

“Kita tidak boleh terus keciciran mata. Hal ini kerana jurang mata dengan pasukan seperti Sarawak, UKMFC dan Pulau Pinang terlalu hampir.

“Mahu atau tidak kita perlu menang walaupun hadir ke sana (Pulau Pinang) dalam serba kekurangan,” katanya.

Yusri memberitahu, serba kekurangan yang dimaksudkan itu adalah tanpa kehadiran pemain import.

Katanya, walaubagaimanapun itu tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk tidak memperagakan aksi terbaik pada perlawanan tersebut nanti.

“Saya akui Pulau Pinang ada kelebihan terutama pemain import, namun kita tidak akan memberikan laluan mudah.

“Saya sudah maklumkan perkara itu kepada pemain dan mereka sudah bersedia untuk mengharungi cabaran itu,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE