Kemenangan itu sekali gus meletakkan Chelsea di tangga teratas kumpulan dengan empat mata, selepas Schalke 04 dan MK Maribor yang terikat seri 1-1 di Jerman menyebabkan kedua-dua pasukan sekadar mengumpul dua mata, sementara Sporting di tangga tercorot dengan satu mata.

Kekalahan itu mengakhiri rekod 16 perlawanan tanpa kalah Sporting di laman sendiri dalam saingan Eropah.

Mourinho, 51, kecewa dengan perlawanan tersebut apabila pasukannya mendominasi permainan tetapi mempersiakan peluang terhidang, selain Sporting hampir mencuri satu mata hasil daripada beberapa percubaan berbahaya yang dihasilkan.

"Tiga mata adalah tiga mata. Kami kehilangan dua mata di laman sendiri dan kini berjaya meraih tiga mata dari tempat lawan. Chelsea adalah pasukan muda yang kadang kala kurang berkesan di depan pintu gol. Sporting kalah tetapi masih berpeluang untuk layak.

"Kami tidak merosakkan permainan tetapi kami bermain dengan baik, sangat padat dan mendominasi sepenuhnya bahagian pertahanan. Sekarang masa untuk rehat dan kemudian baru kami fikirkan mengenai Arsenal," kata Mourinho.

Chelsea berjaya memecahkan kebuntuan permainan dengan jaringan pada minit ke-34 hasil hantaran lintang Eden Hazard yang berjaya ditanduk masuk Nemanja Matic untuk menewskan Rui Patricio.

Kapten Chelsea, John Terry yang menampilkan permainan mantap di bahagian bek tengah sewaktu membuat penampilan ke-100 dalam Liga Juara-Juara berkata, Chelsea seharusnya mencipta kemenangan lebih awal.

"Mereka merupakan pasukan yang bagus dan beraksi dengan baik tetapi kami memiliki banyak peluang yang dipersia-siakan, nasib kami baik apabila Matic menjaringkan gol kemenangan.

"Kami tewas pada perlawanan peringkat kumpulan musim lalu dan kembali melayakkan diri tetapi kami perlu menang malam ini dan berjaya berada di tangga teratas kumpulan," katanya.

Matic yang sebelum ini pernah beraksi bersama seteru Sporting, Benfica sebelum menyertai semula Chelsea pada 2013 meledakkan jaringan keduanya dalam saingan Liga Juara-Juara.

"Kami bermain baik pada separuh masa pertama tetapi gagal memanfaatkan peluang. Sporting merupakan seteru utama Benfica tetapi saya sangat gembira dapat jaringkan gol. Tidak kisah siapa penjaring gol asalkan pasukan menang," katanya. - AFP