Fokus dan komitmen Martial telah dipertikaikan oleh bos United, Ole Gunnar Solskjaer dan juga pengendali terdahulu, Jose Mourinho. Kedua-duanya menyuarakan kebimbangan terhadap sikap penyerang Perancis itu ketika dalam latihan dan juga perlawanan, sehingga mendorong kepada cadangan bahawa pemain berusia 23 tahun itu akan dijual.

Namun, kedudukan Martial dikatakan selamat kerana Pengerusi Eksekutif bersama, Glazer merupakan peminatnya dan dianggap sebagai pemain kegemaran di kelab tersebut, menurut sumber.

Martial menandatangani kontrak baharu sehingga 2023, Januari lalu dan menerima gaji sebanyak 200,000 pound (RM1.07 juta) seminggu, walaupun sejak itu dia hanya meledakkan dua gol daripada 13 penampilan bersama United.

Penyerang itu yang ditandatangani dari Monaco dengan harga 36 juta pound (RM194 juta) pada 2015, berdepan masa depan tidak menentu sejak musim panas lalu, dengan Mourinho berminat untuk menjualnya setelah hilang keyakinan terhadap Martial.

Bagaimanapun, hasrat Mourinho untuk menyingkirkan Martial telah digagalkan oleh Joel Glazer dan Naib Pengerusi Eksekutif, Ed Woodward yang melihat pemain tersebut mampu memainkan peranan penting untuk masa depan United.

Mourinho yang berminat untuk menandatangani bintang Inter Milan dan Piala Dunia Croatia, Ivan Perisic menemui kegagalan kerana Glazer dan Woodward meletakkan kepercayaan sepenuhnya ke atas Martial.

Berbeza dengan senario yang melanda United, Martial pula membuat keputusan untuk kekal di United, meskipun peminat sudah hilang keyakinan terhadap kemampuan pemain itu mempamerkan persembahan konsisten sepanjang musim.

Solskjaer berhasrat untuk membawa masuk lima pemain baharu sebelum United kembali memulakan latihan pramusim pada 1 Julai. Lapan pemain akan meninggalkan United, dengan Antonio Valencia dan Ander Herrera telahpun berbuat demikian, manakala Matteo Darmian, Marcos Rojo, Eric Bailly, Juan Mata, Romelu Lukaku serta Alexis Sanchez dijangka mengikut jejak langkah mereka. – AGENSI